Rabu, 16 Oktober 2019

Pengalaman Menduduki Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) Guru Interim Oktober 2019


Shalom.

Penulisan ini adalah berdasarkan kepada pengalaman penulis sendiri ketika menduduki UKCG pada Oktober 2019.





Kepada calon yang akan menduduki UKCG, berikut merupakan pengalaman saya sendiri ketika menduduki ujian kelayakan calon guru pada Oktober 2019. Jangan risau dan jangan gentar, soalan yang diberikan merupakan soalan yang berkaitan dengan personaliti diri, psikologi dan sejauhmana komitmen anda sebagai seorang ketua (leader).

Pada 14 Oktober lepas, saya bergerak ke Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Kota Kinabalu untuk menduduki UKCG. Masa pendaftaran tepat pada 7.30 pagi namun disebabkan jarak dari rumah saya ke Kota Kinabalu mengambil masa selama 2 jam 30 minit dan hampir sejam terperangkap dalam kesesakan jalan raya, maka saya lewat datang untuk pendaftaran. Namun begitu, saya masih sempat untuk mendaftar kerana masa UKCG saya akan bermula pada jam 10 pagi.

Semua calon diminta untuk berbaris di luar dewan dan menunggu calon sesi sebelumya untuk selesai menduduki ujian. Ujian yang sepatutnya bermula pada pukul 10 pagi telah dianjakkan pada pukul 10.45 pagi kerana pegawai yang bertugas masih mengedarkan borang jawapan (omr) kepada setiap meja calon. Calon UKCG hanya dibenarkan untuk membawa slip kehadiran (print out siap-siap), kad pengenalan, 2 batang pensel 2B dan pemadam. Barangan lain TIDAK dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam dewan.

Calon diberi masa selama 45 minit untuk menjawab sebanyak 180 soalan dan soalan terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Bahagian A dan juga Bahagian B. Bahagian A sebanyak 120 soalan (jawab dalam masa 30 minit) dan hanya ada dua (2) pilihan jawapan iaitu YA /TIDAK. Bahagian B pula sebanyak 60 soalan (jawab dalam masa 15 minit) dan mempunyai empat (4) pilihan jawapan iaitu TIDAK SAMA SEKALI/ TIDAK BENAR/ BENAR/ SANGAT BENAR. Calon dinasihatkan untuk memperuntukkan 15 SAAT sahaja bagi setiap soalan disebabkan soalan yang banyak dan masa yang singkat. Oleh itu, pembacaan yang laju dan pemprosesan maklumat haruslah tepat untuk menjawab setiap soalan. Calon juga diingatkan agar tidak menconteng kertasa soalan kerana kertas tersebut akan digunakan oleh calon seterusnya. Kertas tersebut juga tidak boleh dibawa balik oleh calon.

Sebelum ini, saya telah membaca beberapa blog yang berkongsi tentang pengalaman mereka ketika menduduki UKCG. Ada calon yang perlu menjalani ujian kecergasan fizikal dan ujian bertulis dan ada juga calon yang hanya menduduki ujian bertulis sahaja. Namun, pada UKCG bagi calon Guru Interim Oktober 2019, calon hanya menduduki ujian bertulis sahaja. Saya sendiri hampir binggung kerana tidak mendapat emel yang menyatakan apa dokumen yang perlu dibawa. Syukurlah di laman web menyatakan bahawa calon hanya wajib membawa Slip Kehadiran dan Kad Pengenalan sahaja. Tapi, just in case kan, saya bawa surat beranak dan bawa Salinan baju dan kasut sukan yalaa maybe tiba-tiba pula ada ujian kecergasan. First time UKCG ni, dah la saya ni bukan dari bidang Pendidikan. Datang UKCG pula seorang diri.  Nervous tu harus! Hee….

Okay, soalan apa yang keluar waktu UKCG? Susah ka? Senang? Apa topik yang harus dibaca? Isu-isu semasa? sebelum UKCG, saya ada baca beberapa topik yang berkaitan seperti Dasar Pendidikan Kebangsaan, Bajet 2020 untuk bidang pendidikan, isu berkaitan pendidikan di Sabah, isu kemiskinan pelajar di Sabah dan isu warganegara (pelajar) tanpa dokumen yang sah di Sabah. Ini ka soalan yang keluar? Nope hehee. Seperti yang saya tulis di awal penulisan, soalan UKCG bagi calon pada Oktober 2019 adalah berkaitan personaliti diri, emosi, psikologi dan juga sejauh mana anda sanggup bertanggugjawab sebagai seorang pemimpin (komitmen). Saya akan kongsikan beberapa soalan yang saya ingat, tapi tidak dijamin soalan berbunyi sama sebab saya pun lupa-lupa sudah bah haha. Dan soalan juga mungkin berbeza pada UKCG yang akan dilakukan pada masa akan datang. Soalan juga ada yang berulang ya kawan-kawan, so ini beberapa soalan yang masih saya ingat-

1.      Adakah anda boleh memimpin kumpulan kecil?
2.      Anda seorang yang mudah marah?
3.      Anda akan melaporkan kepada ibubapa anda jika adik beradik melakukan kesalahan?
4.      Anda boleh menyimpan rahsia?
5.      Adakah anda akan menceritakan rahsia rakan anda kepada sesiapa sahaja?
6.      Anda sanggup kibarkan jalur gemilang di hadapan rumah?
7.      Tugas menjaga keselamatan negara adalah tanggugjawab pegawai keselamatan sahaja.
8.      Anda suka menyendiri?
9.      Adakah anda akan marah jika difitnah?
10.  Adakah anda pernah dimarah?
11.  Anda pernah jatuh cinta?
12.  Adakah anda akan melakukan hubungan seks dengan sesiapa sahaja?
13.  Anda sanggup bekerjasama dengan kumpulan masyarakat yang mundur?
14.  Adakah anda akan mencuci tangan selepas bersalaman dengan ramai orang?
15.  Adakah anda pernah dicerca?
16.  Adakah sukar untuk berlaku adil?
17.  Adalah penting untuk organisasi menyediakan cara untuk menyelesaikan konflik ketika bekerja.
18.  Anda tidak berpuas hati apabila idea anda tidak diterima?
19.  Anda boleh menggabungkan idea sendiri dengan idea orang lain?
20.  Silibus tadika adalah sesuai dengan perkembangan masa kini?
21.  Adakah anda pernah mendengar suara-suara lain ketika menyendiri?
22.  Hidup ini tidak bermakna.
23.  Anda tidak pernah jatuh cinta.
24.  Anda akan berdiam diri jika negara dihina oleh orang luar.
25.  Adakah anda setuju bahawa pendidikan harus dipolitikkan? (saya suka soalan ni sebab bagi saya pendidikan itu tidak seharusnya dijadikan sebagai isu politik kerana semua warganegara tidak kira latar belakang layak untuk mendapat pendidikan yang seharusnya! Tapi I don’t know kenapa saya jawab YA. Haaish hipokritnya saya, jadilah diri sendiri ya kawan-kawan.
26.  Membentuk sahsiah murid-murid adalah tanggungjawab seorang guru.
27.  Adakah anda akan bekerja over-time jika kerja yang ingin disiapkan itu penting?
28.  Adakah anda akan melihat bayangan lain dihadapan anda ketika anda seorang diri?
29.  Anda suka bergaul?
30.  Adakah anda akan membalas dendam jika berlaku ketidakadilan terhadap diri anda?

Okay kawan-kawan, ini sahaja soalan yang mampu saya kongsikan. Kalau taip panjang-panjang nanti rugi pula kalau format soalan bukan lagi sama haha. Tapi kena ingat juga ya, ini merupakan contoh soalan pada UKCG Oktober 2019 dan berkemungkinan soalan TIDAK AKAN SAMA pada UKCG yang dilakukan pada masa akan datang. Pakaian kena kemas, pakai la baju kurung, bagi lelaki pakai la kemeja dan tie sekali. Jangan lupa berdoa sebelum menjawab soalan. Wish you guys all the best! Thank you sudi luangkan masa membaca pengalaman saya.







Xoxo- Living In The Wild, Pari-pari Hutan.



Sabtu, 5 Januari 2019

Teori Karl Marx : Masyarakat Tanpa Kelas











1.0    Pengenalan
Abad kesembilan belas membuka lembaran sejarah kegemilangan di Jerman dengan kelahiran seorang tokoh hebat dunia yang memiliki pengaruh kekal dan kuat terhadap sejarah kehidupan manusia (Berlin 2000 : 1). Salah satu sumbangan terbesar Karl Marx adalah konsep perjuangan kelas yang menjadi pemangkin kepada kaum buruh untuk bangkit mempertahankan hak dan kebebasan mereka dari terus menjadi ‘kuda tunggangan’ kaum kapitalis. Sebagai sebuah ideologi, Marxisme merupakan inspirasi bagi sebahagian besar gerakan pembebasan sosial dan beransur-ansur menjadi gerakan politik dan sosial di pelbagai tempat dan negara. Marxism menolak sistem kapitalisme kerana menganggap kapitalisme adalah bersifat eksploitasi (Popper 1997 :19).  Kapitalisme akan menyebabkan golongan kaya terus kaya dan golongan miskin terus miskin. Teori Marx berkisar di sekitar bagaimana masyarakat akan terus berubah sebagai satu tindak balas kepada keadaan ekonominya, dan juga kritikan beliau kepada keadaan masyarakat industri kapitalisma.


1.1 Latar Belakang
Karl Marx dilahirkan di Trevivorium, Jerman Barat pada 5 Mei 1818. Di Berlin dan Bonn beliau telah mempelajari undang-undang. Semasa beliau menuntut beliau tertarik dengan persoalan-persoalan dalam falsafah. Beberapa sarjana-sajana falsafah yang telah mempengaruhi Karl Marx antaranya ialah George Wilhelm Federick Hegel (1770-1831) dan Ludwig Feurbach. Beliau telah meminjam idea-idea sarjana-sarjana tersebut dan mengembangkannya. Antara idea yang beliau pinjam iaitu teori dialektik dan materialism. Ketika tinggal di Brussel pada tahun 1847, beliau telah menerbitkan bukunya yang pertama, The Poverty of Philosophy. Pada tahun berikutnya, beliau bersama Engels menerbitkan Communist Manisfesto, yang akhirnya menjadi bacaan dunia (Nur 2011 : 74).
Marx banyak menulis tentang teori beliau dalam banyak perkara. Penulisan Marx boleh dibahagikan kepada beberapa bidang iaitu dari segi politik, ekonomi dan sosial (Nur 2011 : 87). Marx dalam teorinya berkenaan dengan sosial dimana beliau menyatakan bahawa bagaimana masyarakat dapat berubah kearah keadilan, saksama dan bebas. Beliau juga menyatakan bantahan kepada industri kapitalisme. Bagi marx kapitalisme merupakan satu tindakan yang tidak adil dan menyebabkan penindasan. Marx melihat bahawa permasalahan yang wujud dalam kapitalisme adalah manfaatnya tidak dirasakan oleh semua pihak. Menurut beliau penghapusan sistem ini akan membawa kepada keadilan dan kesempurnaan kepada masyarakat. 
“…capitalism cannot be reformed, but can only be destroyed; if one wishes to have a better society it must be destroyed.” (Popper 1997 : 19)


1.2 Plato dan keadilan sosial
Di dalam karya The Republic, Plato menerangkan tiga struktur politik iaitu monarki (pemerintahan oleh raja yang juga ahli falsafah), oligarki (pemerintahan oleh sekumpulan elit) dan demokrasi (pemerintahan oleh rakyat). Manakala dalam sistem kapitalisme, Cuma ada dua kelas yang utama iaitu bourjuis dan juga ploletariat. Plato berpendapat bahawa keadilan sosial akan hanya tercapai jika setiap orang hanya mengerjakan bahagian masing-masing (Annas 1981: 316). Walau bagaimanapun, berbeza dengan sistem kapitalisma, dimana golongan borjuis akan terus menindas kelas pekerja. Plato juga telah menghuraikan tiga kelompok utama dalam struktur sosial warga Athens. Tiga kelompok tersebut ialah kelompok elit (perfect guardians) iaitu golongan pemimpin dan pentadbir. Kedua ialah golongan pahlawan atau tentera (auxiliary guardians) iaitu golongan tentera yang bertanggungjawab mempertahankan negara-kota secara fizikal, dan kelompok yang ketiga ialah  pekerja (third class) iaitu golongan yang mempunyai pengkhususan perkerjaan masing-masing.
Plato berpendapat bahawa setiap orang mempunyai bakat dan sumbangan untuk menjadikan negara tersebut negara yang ideal. Jika ketiga-tiga kelas ini berfungsi dengan baik maka semua warga negara-kota akan dapat menikmati perkhidmatan yang terbaik dalam semua bidang. Bermaksud setiap kelas memainkan peranan yang penting dalam menyumbang kepada negara (Annas 1981 : 73-75). Plato berpendirian bahawa setiap kelas hanya perlu fokus dalam bidang masing-masing tanpa mencampuri bidang orang lain kerana setiap orang mempunyai kepakaran yang tersendiri. Idea-dea yang dikemukakan oleh Plato hampir sama dengan idea masyarakat tanpa kelas (komunisme) yang dikemukakan oleh Karl Marx. Apa yang berbeza, keadilan sosial yang ditekankan oleh Plato ada sangat penting dan pembahagian kerja bagi setiap kelompok masyarakat yang telah dikhususkan.
Manakala bagi Karl Marx pula, ekonomi merupakan tunjang utama kepada berlakunya penindasan dalam sistem sosial masyarakat. Antara pandangan sejarah Marx yang dianggap penting oleh pendukung aliran Marxisme adalah teori perjuangan kelas (Struggle of Classess).


1.4 Dialetik Materialism
            Hubungan antara manusia dan alam yang saling bertukar-tukar dan dikendalikan melalui cara pengeluaran khusus telah menghasilkan cara-cara dan keperluan-keperluan baru bagi memenuhi kemahuan masyarakat. Hubungan tersebut diabadikan oleh Marx dalam teori Dialectic Materialism yang menekankan tiga formula serangkai iaitu Theses, Anti-Thesis dan Syntheses (Nur 2011: 89). Contohnya, gambaran Marx tentang tahap cara pengeluaran iaitu feudalisme dikontradiksi dengan kebangkitan kelas pertengahan iaitu kelas bourgeois, maka kapitalisme dianggap sebagai anti-theses dan seterusnya diganti pula oleh tahap komunisme yang dianggap sebagai Syntheses. Proses ‘dialektik’ tersebut dijadikan senjata moral bagi perjuangan kelas buruh untuk membebaskan diri dari belenggu penindasan kelas kapitalis melalui proses revolusi. Oleh itu, sikap manusia itu sendiri dijadikan subjek dialektik kepada perubahan sosial.
            Hasilnya, lahirlah organisasi buruh sosial dengan keperluan baru dan akhirnya kuasa produktif mereka mengalami peningkatan secara mendadak. Justeru itu, fahaman Dialectical Materialism telah berjaya mengorganisasi masyarakat dalam kelas-kelas sosial ekonomi dengan menyediakan kuasa-kuasa peralihan ke arah tahap yang tertinggi dalam perkembangan sejarah manusia. Marx mengatakan hubungan dialektikal antara dua golongan kelas masyarakat iaitu dominan dan subdominan. Bagi Marx, tenaga penggerak dalam sejarah bukanlah idea tetapi keadaan material manusia. Sejarah perubahan manusia hanya boleh difahami dengan melihat kepada keadaan material manusia itu. Contohnya perubahan masyarakat feudalisme ke kapitalisme kemudiannya ke sosialisme-komunisme adalah perubahan yang ditentukan oleh suasana materialisme, dan oleh kontradiksi dialektiks dalam suasana materialisme itu (Nur 2011 : 88)


 1.5 Teori Surplus Value
Teori nilai lebihan ini lebih berdasarkan kepada kerja teori nilai. Menurut Engels, ia merupakan penemuan Marx. Marx telah membantah bahawa kapitalisme mengabdikan proletariat kerana orang perlu bekerja dengan selamat. Manakala dalam sistem kapitalis mereka mempunyai satu monopoli dalam “mean of production”. Oleh itu, pekerja-pekerja terpaksa menjual kerja mereka dengan harga yang sangat minimum. Marx juga menggunakan idea Ricardo iaitu undang-undang upah kuku besi. Dalam undang-undang tersebut pemodal-pemodal hanya berfikir untuk membuat keuntungan. Mereka hanya membayar pekerja mereka hanya cukup untuk makan bersama dengan keluarga  dan perlu bekerja semula pada keesokan harinya. Hal ini bukan sahaja menghambakan  pekerja dengan membayar upah yang rendah dan seolah-olah tidak menghargai kerja mereka untuk menghasilkn barangan tersebut. Selain itu, pemodal-pemodal juga memaksa pekerja untuk menghasilkan hasil yang berlebihan nilai untuk mereka simpan sebagai satu keuntungan ( Tucker 1978 : 248).
          Hal ini adalah bersikap eksploitatif dimana pekerja terpaksa bekerja dalam jumlah jam yang lama tetapi dibayar dengan kadar gaji yang rendah. Sebagai contoh, seorang buruh yang mengambil enam jam masa bekerja untuk mendapatkan hasil keperluan hidup seorang buruh dan keluarga tetapi dengan kuasa majikan buruh tersebut terpaksa bekerja selama 13 jam iaitu terpaksa menyerahkan tujuh jam nilai-nilai lebihan kerana nilai lebihan hanya dapat dikeluarkan oleh kerja. Hal ini perlu dihapuskan oleh golongan proletariat daripada masyarakat kerana terlalu menindas golongan tersebut.
            Dalam konteks Marx, alienisasi merupakan satu keadaan dimana golongan buruh tidak mempunyai masa bagi diri mereka sendiri. Mereka terasing daripada kehidupan peribadi mereka disebabkan mereka dikerah untuk bekerja lebih masa. Selain itu, mereka juga terasing daripada produk yang mereka hasilkan bila mana hasil yang diperolehi daripada produk tidak akan diberi sepenuhnya tetapi mereka hanya mendapat kadar upah yang sedikit (Tucker 1978 :133). Marx telah menyenaraikan empat situasi utama bagi definisi umum alienisasi iaitu,
 “… from the product of his labour, in his working activity, from man’s species being which is transformed  into a being alien to him and from other human being, and in relation to their labour and the object of their labour.”  ( Musto 2012 :95)


1.6 Komunisme dan masyarakat tanpa kelas
Marx dan Engels dalam karyanya The Communist Manifesto telah mengemukakan Political Rule of Proletariat yang menyarankan agar golongan proletariat menakluki pertadbiran negara agar mereka boleh memanfaatkan kuasa politiknya untuk merampas semua modal dari cengkaman golongan bourgeois dan memusatkan semua alatan produksi di bawah kekuasaan negara yang ditadbir oleh golongan Proletariat sendiri (Nur 2011 :90). Ini dilihat sebagai usaha mereka untuk memusnahkan keistimewaan-keistimewaan yang dimiliki oleh golongan bourgeois. Berdasarkan pengalaman dalam Revolusi Perancis 1789, Marx telah mendesak kaum proletariat untuk merampas dan menguasai kepimpinan negara bagi menjadikannya lebih demokratik dan majoriti (Nur 2011: 84).
Idea komunisme mula diperkenalkan dalam gagasan Marxisme sejak Marx berada di Paris pada tahun 1844. Hasil penelitian Marx terhadap struktur masyarakat dalam sistem ekonomi kapitalisme, beliau menjangkakan akan terbentuk sistem komunisme di masa hadapan yang melihat dunia ini tidak lagi bersifat statik, tetapi akan berlaku perubahan-perubahan yang berterusan sejajar dengan teori dialektik Hegel. Menurut Marx, proses perubahan sejarah bergerak melalui komunisme primitif, feudalisme, kapitalisme, selanjutnya melalui sejarah sosialisme dan berakhir dengan komunisme. Setiap transformasi sejarah tersebut dicapai melalui revolusi kaum buruh yang mewakili inspirasi seluruh manusia. Melalui revolusi, kebebasan bersifat ‘universal’ akan dapat dicapai oleh kelas buruh, sekaligus mewakili semua umat manusia yang mahu melepaskan diri dari belenggu perhambaan. Revolusi proletariat hanya difahami dalam terminologi yang lazim kerana Marx dan Engels tidak memberikan penjelasan yang spesifik terhadap kerangka komunisme masa hadapan (Nur 2011 : 90).
Langkah-langkah untuk merealisasikan revolusi tersebut akan gagal sekiranya kelas proletariat tidak memiliki kuasa negara kerana ia masih diperlukan lagi bagi menggulingkan sistem kapitalisme. Marx tidak bersefahaman dengan pendirian tokoh anarkisme seperti Michael Bakunin (1814-1876) dan Josep Proudhon (1809-1865) yang mahu sistem negara dihapuskan secara total. Sebaliknya, Marx merasakan bahawa negara amat berguna untuk merealisasikan Dictatorship of Proletariat, meskipun fungsi asal negara sebagai mekanisme penindasan sesama kelas sosial. Ini kerana Marx meletakkan fungsi negara untuk tujuan peralihan sahaja terutama usaha yang menjurus ke arah sistem egalitarian iaitu sistem tanpa kerajaan, kelas dan harta (Hay 2006 :61).
 Walaupun Marx menganggap kuasa negara hanya bersifat sementara, tetapi ia digunakan atas kepentingan kelas buruh yang mahu memperjuangkan persamaan hak dalam pengagihan harta. Matlamat utama kegunaan dalam komunisme adalah proses penggantian dari kegunaan peribadi kepada kegunaan sosial. Menurut Marx dan Engels, komunisme bukan hanya merupakan harta sosial, tetapi juga meliputi konteks sistem demokrasi  baru  iaitu dalam bentuk komuniti atau organisasi (Nur 2000 : 87). Melalui organisasi tersebut, Marx dapat menggambarkan kehendak manusia tanpa cenderung kepada isu pertentangan kelas dan dominasi kuasa politik.  Kesannya, demokrasi bourgeois akan dibatasi oleh organisasi baru yang lebih demokratik dan realistik kerana hanya melibatkan pengurusan barang-barang berbanding pengurusan masyarakat.
Oleh sebab itu, sistem komunis dijangka akan menjamin keamanan seluruh dunia kerana revolusi proletariat dapat menghapuskan ruang-ruang sempit dalam nasionalisme bourgeois. Justeru itu, konflik antara kelas-kelas masyarakat hanya dapat dihalang jika semua keperluan masyarakat dipenuhi (keadilan sosial oleh Plato), segala kemahiran dan potensi masyarakat dipacu dalam saluran sosial serta perselisihan antara kumpulan-kumpulan sosial atau individu-individu akan beransur pulih.
Berdasarkan analisis ke atas konsep kelas sosial, dapat simpulkan bahawa Marx telah melontarkan kritikan tajam ke atas sistem kapitalisme dengan melanjutkan asas falsafah dialektik dan history sebagai wadah pejuangan menentang unsur-unsur perhambaan dalam setiap organisasi dan kelas masyarakat.  Ini kerana sejarah perjuangan manusia merupakan sejarah perjuangan kelas dan negara hanya merupakan alat yang digunakan oleh kelas berkuasa untuk menindas seluruh kelas bawahan. Elemen-elemen dominasi tersebut akan berakhir dengan penghapusan sistem kapitalisme, lantas ia menandakan kemenangan kelas proletariat yang diterajui oleh kaum buruh. Kejayaan sesebuah revolusi dalam mendirikan kerajaan baru hanya bergantung penuh kepada sikap diktator proletariat yang diterjemahkan ke dalam bentuk perjuangan kelas (class struggle). Sikap diktator itu sendiri disifatkan sebagai tahap peralihan ke arah pemansuhan semua kelas masyarakat (classless) iaitu tranformasi masyarakat kapitalis ke dalam masyarakat komunis (Nur 2011 : 90). Gambaran kapitalisme Marx cukup sempurna dengan menonjolkan keadaan buruh yang sengsara dan tertindas, lalu membayangkan masyarakat tanpa kelas melalui pembentukan ‘negara komunis’. Oleh sebab itu, falsafah Marxisme dilihat cuba menzahirkan kesedaran asas untuk membentuk masyarakat sosialis agar hak-hak ekonomi dan politik kelas proletariat dapat dikembalikan dan menekankan keperluan memelihara kebebasan dan kemerdekaan.












Rujukan

Colin Hay, Michael Lister, David Marsh. 2006. The State : Theories and Issues. Palgrave Macmillan. New York, USA.
Indriaty Ismail, Mohd. Zuhaili Kamal Basir. 2012. Karl Marx dan Konsep Perjuangan Kelas Sosial dlm. International Journal Of Islamic Thought.
Isaiah Berlin. 2000. Biografi Karl Marx. Pustaka Prometha, Surabaya, Indonesia.
Julia Annas. 1981. An Introduction to Plato’s Republic. Oxford University Press, New York.
Karl Popper. 1997. The Lesson Of The Century : With Two Talks On Freedom And The Democratic State. Routledge, New York.
Marcello Musto. 2012. Marx For Today. Routledge, New York.
Nur Sayyid Santoso Kristeva. 2011. Negara Marxis dan Revolusi Proletariat. Pustaka Pelajar, Yogyakarta. Indonesia.
Robert C. Tucker. 1978. The Marx-Engels Reader. 2nd Edition. International Publisher Inc. New York, USA.